October 13, 2020

KERAJAAN BARU LEMBAB URUS COVID-19

Tiada jawatankuasa penyaluran bantuan, tiada peruntukan, dan tiada tindakan efektif. Itulah gambaran kerajaan baru di bawah Hajiji Noor, Ketua Menteri Sabah yang baru di dalam menangani Covid-19 di negeri ini. Malah, beliau sendiri menjadi mangsa pandemik itu akibat longgarnya pengamalan SOP jentera Barisan Nasional dan Perikatan Nasional tempoh hari ketika berkempen di Sabah. Sekurang-kurangnya 7 pemimpin Barisan Nasional dan Perikatan Nasional disahkan positif Covid-19 setakat ini iaitu Mohd Razlan Rafii, Shahril Hamdan, Sufian Abdul Karim, Amiruddin Yusof, Azman Nasrudin, Ahmad Masrizal Muhammad, dan Menteri Agama, Zulkifli Mohamad.

Di dalam keresahan rakyat terhadap ancaman ekonomi yang sedang melanda akibat tindakan kerajaan melaksanakan PKPDB (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar), masih tidak wujud penyelesaian segera untuk membantu rakyat sama ada daripada kerajaan negeri mahupun persekutuan berhubung perkara itu.

Perkara tersebut dikuatkan lagi dengan tersebarnya perbualan Whatsapp di antara Menteri Sains dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan dengan penduduk Karambunai yang memohon bantuan daripada pihak beliau kerana hilang punca pendapatan sepanjang PKPDB berjalan di kawasan tersebut.

“Aku tahu dan faham banyak aduan. Tapi bukan semua kita dapat layan dan selesaikan dalam tempoh sekarang. Selain peruntukan belum tersedia malah masalah Covid dan perjawatan peringkat ADUN dan kampung juga belum terbentuk”- Datuk Yakub Khan.

Tidak cukup dengan kelembapan kerajaan baru di dalam menguruskan keperluan rakyat yang terjejas ekonomi akibat PKPDB, keadaan Covid-19 pada kali ini diterukkan lagi oleh kekurangan kelengkapan ujian saringan di hospital-hospital seluruh negeri sehingga melambatkan proses ujian saringan Covid-19.

Berbeza sewaktu WARISAN menerajui pentadbiran negeri, kelembapan dan kelemahan Kerajaan Persekutuan ditampung oleh tindakan pantas kerajaan negeri pada ketika itu, di antaranya;

  1. Penyediaan pusat kuarantin di Kompleks Likas dengan kos sebanyak RM2 juta.
  2. Pembelian cecair reagent untuk dibekalkan kepada hospital-hospital bagi mempercepatkan keputusan ujian saringan di seluruh Sabah.
  3. Pembelian PPE untuk dibekalkan sebagai kegunaan petugas kesihatan di seluruh Sabah.
  4. Pembelian pelitup muka untuk dibekalkan kepada hospital-hospital dan orang awam di Sabah.
  5. Bantuan makanan daripada kerajaan negeri untuk setiap keluarga yang terjejas sepanjang Covid-19.
  6. Bantuan one-off sebanyak RM300 untuk pemandu teksi, penjaja, penoreh getah, nelayan, petani, ibu tunggal, penduduk B40,  penduduk yang berdaftar dengan E-Kasih, dan, malim gunung, dan pemandu pelancong.

Semoga kerajaan baru di bawah Gabungan Rakyat Sabah lebih peka dan pantas di dalam menangani masalah dan kebajikan rakyat sepanjang PKPDB ini. Alasan peruntukan belum tersedia dan ketiadaan jawatankuasa pengurusan pengagihan bantuan hanya akan menguatkan lagi persepsi rakyat bahawa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah ini hanyalah alat untuk mengekalkan kuasa mereka di Semenanjung semata-mata tanpa mempedulikan kebajikan dan hak golongan marhain yang terjejas ekonominya sepanjang pandemik ini.

Mohd Ali. Penulis bebas.

Tulisan di atas merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Hub Netizen.

Kongsi:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *