October 5, 2020

BANJIR & COVID-19: KERAJAAN HAJIJI AYAM MATI?

Sejak hari pertama Gabungan Rakyat Sabah memenangi Pilihan Raya di negeri ini, belum terlihat tanda-tanda masa depan rakyat Sabah akan menjadi lebih baik pada masa akan datang. Bermula daripada perebutan kerusi Ketua Menteri hinggalah kepada kekucar-kaciran kabinet yang dibentuk Hajiji sehingga memaksa Masidi Manjun melepaskan jawatan menteri yang baru dipegangnya selama 3 jam untuk memberi laluan kepada Bung.

Di dalam keghairahan pemimpin BN, PN, STAR, dan PBS berebut portfolio kementerian yang diketahui umum peruntukan tahunannya maha besar, mereka terlupa menamakan Menteri Kesihatan Sabah yang baru. Mungkin lubuk kekayaan bukan di situ pada pandangan mereka.

Ataupun mungkn mereka masih sibuk berunding jawatan sehingga terlupa bahawa rakyat Sabah yang telah memilih mereka baru-baru ini sedang bergelut dengan masalah ekonomi dan keselamatan di tengah-tengah krisis pandemik Covid-19?

Tidak cukup dengan itu, rakyat dibiarkan terpinga-pinga oleh kecelaruan maklumat daripada laman Facebook Jabatan Pengurusan Bencana dan Majlis Keselamatan Negara baru-baru ini akibat tiada pemantauan daripada pemimpin-pemimpin yang sibuk mencatur kuasa ini. Siapa Menteri Kesihatan Sabah? Bila mau lantik?

Seperti biasa, mana-mana kerajaan negeri yang lemah urus tadbirnya akan merujuk kepada Persekutuan sebelum membuat sebarang keputusan berhubung kepentingan rakyat di negeri sendiri. Itulah yang ditunjukkan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah yang baru dengan mengemis kebenaran Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan SOP baru PKPD Sabah. Berbeza dengan Shafie Apdal, beliau lebih mahir membuat keputusan untuk negeri ini tanpa perlu teraba-raba seperti orang buta menunggu pemimpin Semenanjung menghulur tongkat.

Suara keluh kesah rakyat Sabah pun sudah mulai kedengaran dengan perlaksanaan SOP baru ini. Bagi mereka yang berniaga, batasan-batasan SOP baru ini semestinya akan menghambat perjalanan operasi mereka yang kebanyakannya bergantung kepada bilangan pelanggan yang hadir ke premis terutama sekali perniagaan yang melibatkan makanan.

Yang sibuk merampas kuasa di tengah pandemik Covid-19 sebelum ini ialah pemimpin Barisan Nasional, Musa Aman. Yang menjadi ejen penyebar Covid-19 di seluruh Sabah sepanjang Pilihan Raya ialah jentera UMNO dari Semenanjung. Hari ini, yang menjadi mangsa kepada pergelutan antara PPBM dan UMNO ialah rakyat Sabah secara keseluruhannya.

Menang sahaja PN dan BN di Sabah, Tuhan turunkan hujan mencurah-curah sehingga banjir dan tanah runtuh berlaku hampir di setiap kawasan Pantai Barat Sabah. Mungkin Dia ingin menguji kemampuan pemimpin-pemimpin baru ini. Ternyata, yang kedengaran saat tulisan ini disiapkan hanyalah suara cengkerik bersahutan, tanda penantian kita terhadap respon pemimpin-pemimpin ini.

Mungkin benarlah kata-kata seorang netizen di Facebook pada siang tadi. Pemimpin GRS pada musim hujan ini sedang sibuk menikmati hot chocolate sambil memerhatikan gelagat netizen di alam maya!

Winnie Joan. Penulis bebas.

Tulisan di atas merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Hub Netizen.

Kongsi:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *