August 1, 2020

PRA PRU-15: MUSA, UMNO, DAN WARISAN.

Seperti yang diramal di dalam penulisan saya yang lepas, ternyata penguguran 46 kes rasuah Musa Aman di Mahkamah Tinggi baru-baru ini dipengaruhi oleh janjinya terhadap Perikatan Nasional untuk merampas kembali Sabah daripada Warisan, by any necessary mean. Tidak seperti Najib yang kini hanya dipandang sebagai selebriti Facebook oleh parti-parti komponen di dalam Perikatan Nasional. Kehilangan Najib tidak akan memberi kesan kepada Perikatan Nasional secara langsung. Tidak juga memberi kesan kepada organisasi UMNO, kerana Najib bukan lagi siapa-siapa di dalam UMNO. Tiada apa-apa juga yang boleh dijanjikan oleh Najib untuk Perikatan Nasional pada ketika ini. Maka Najib merupakan korban yang sesuai untuk memulihkan reputasi institusi kehakiman di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Sepandai-pandai Musa, pandai lagi Shafie Apdal. Belum sempat ADUN-ADUN yang melompat merasa empuknya kerusi kabinet, dengan perkenan Tuan Yang Terutama negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, Shafie membubarkan DUN serta-merta bagi memberi laluan kepada rakyat untuk memutuskan siapa yang benar-benar mendapat mandat rakyat untuk memerintah. Sekiranya ada pihak yang perlu dipersalahkan di atas kemelut politik di tengah-tengah pandemik Covid-19 ini, Maka Musa Aman ialah individu yang memulakan plot menukar kerajaan negeri Sabah. 

Seandainya amalan lompat-melompat ini berterusan dan tidak dikekang, PRU ke 15 tidak akan menjanjikan penyelesaian yang tuntas bagi rakyat Sabah. Kemelut politik yang melanda negeri ini akan berterusan sehingga salah satu daripada kedua blok berjaya membuktikan kekuatan prinsip dan moralnya. Usah disentuh tentang third force seperti Parti Cinta Sabah yang dipimpin Anifah Aman. Tiada apa-apa rujukan yang signifikan mengenai beliau dan pasukannya untuk dijadikan justifikasi sebagai pencabar utama di dalam arena politik Sabah. Rakyat Sabah perlu diyakinkan dengan bukti pencapaian dan keupayaan mentadbir.

Sesuatu yang hampir mustahil juga untuk melihat seluruh rakyat Sabah mencapai kata sepakat menolak pemimpin-pemimpin yang tidak memiliki prinsip moral. Ini kerana sesetengah pemimpin ini mempunyai sokongan peribadi yang tersendiri daripada rakyat di kawasan masing-masing. Boleh dicuba, tetapi potensi keberkesanannya amat rendah. Pesaing-pesaing mereka juga kebiasaannya wajah-wajah baru, ibarat pelajar universiti yang tidak cukup kredit jam. Wajah mereka pun jarang kelihatan di kawasan yang ditandingi. Pendek kata, hubungan awam para pesaing kepada ADUN-ADUN yang dicop katak ini amat lemah sekali.

Tidak dinafikan UMNO Sabah masih punya kekuatan. Kekuatan itu jelas pada bilangan dan keupayaan jenteranya. Jenama UMNO itu sendiri merupakan aset yang boleh dijaja oleh pengikut UMNO. UMNO pernah berjasa. Sekalipun wujud punca untuk UMNO kalah, sebabnya cuma satu, iaitu Musa Aman.

Seperti Najib, Musa kini liabiti kepada UMNO Sabah. Dosa terbesar Musa Aman kepada rakyat Sabah ialah rasa takut dan lemah yang disuntik beliau terhadap rakyat melalui pengikutnya selama 15 tahun berkuasa. Tanah dirampas, manakala permohonan tanah rakyat dirumitkan. Siapa-siapa sahaja yang cuba menegur Musa akan menerima padahnya. Pembangunan hanya lebih dirasai di bandar oleh golongan yang berpendapatan tinggi di sepanjang pentadbiran beliau.

Belia pula merupakan golongan terbesar yang tercicir daripada pembangunan di zaman Musa. Sehingga pada hari ini, kurang daripada 5% belia di Sabah yang mempunyai aset seperti rumah ataupun tanah sendiri untuk diusahakan. Semuanya dibolot oleh syarikat-syarikat luar yang dijemput Musa. Alasan belia malas bukanlah alasan yang relevan. Boleh rujuk senarai usahawan belia di Kementerian Belia dan Sukan dan agensi-agensi pembangunan usahawan yang lain.

Sekurang-kurangnya, Warisan sepanjang dua tahun ini berjaya membuktikan komitmen mereka terhadap rakyat. Junz Wong, Peter Anthony, dan Shafie sendiri sebagai Ketua Menteri Sabah menampakkan progress gerak kerja mereka untuk rakyat. Kilang minyak masak Sabah cetusan idea Shafie untuk menurunkan harga minyak masak dan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat. Junz Wong dengan idea pembangunan industri pertanian mesra belianya. Peter Anthony pula menteri yang sangat pantas responnya terhadap keluhan rakyat mengenai kelemahan infrastruktur yang diabaikan sewaktu di zaman Barisan Nasional. Lebih daripada itu, tanah-tanah diserahkan kepada rakyat dengan begitu mudah di zaman Warisan. Semuanya ini boleh dirujuk di laman rasmi Facebook mereka.

Benar, Warisan bukanlah parti yang terkuat di Sabah. Warisan masih baru. Framework Warisan masih terlalu segar dan belum sempat dihadam sepenuhnya oleh rakyat, malah oleh sebahagian pemimpin dan pengikut Warisan itu sendiri. Namun, setakat ini Warisan parti yang senang menerima teguran rakyat. Warisan punya masa depan yang cerah di dalam arena politik Sabah.

Pesan saya kepada Warisan cuma ini. Jaga dan hargailah setiap ahli di dalam pasukan anda. Uruslah mereka dengan sebaik-baiknya. Belajarlah mendengar, menilai, dan melihat dari perspektif mereka. Tanpa mereka bendera parti tidak akan terpacak dengan sendirinya. Isu tidak akan jernih tanpa kehadiran mereka di ruangan Facebook untuk mempertahankan pemimpin Warisan. Dekatkanlah diri anda dengan rakyat. Santuni musuh anda dengan lembut dan berhemah. Hendak hidup lama, kawan mesti ramai. Semakin ramai kawan, maka semakin kecillah lawan.

The Jomo. Penulis bebas. Patriot. Nasionalis bawah tanah.

Kongsi: