July 18, 2020

YAMPAT SI KATAK YAMPAT

Bayangkan anda sedang berada di dalam suatu perlawanan bola sepak. Disaat pasukan anda sibuk menyerang pasukan lawan dengan semangat berkobar-kobar, dan anda sebagai pemain tengah yang sedang mengawal bola mara bersama-sama pasukan sehingga sampai ke kotak penalti pasukan lawan.

Kemudian ayam tambatan pasukan anda meminta bola, dan dengan rela hati anda memberikannya peluang dengan harapan gol akan dijaringkan dan kemenangan akan berpihak kepada pasukan. Setelah bola di berikan kepadanya, beliau kemudian melarikan bola ke arah gawang pasukan sendiri lalu menendang tepat kearah pintu gol, lantas menjadi penyebab kekalahan pasukan sendiri.

Apa perasaan anda? Sudah tentu anda merasa bingung sejenak dan naik gila bukan? Maka begitulah analoginya perasaan rakyat Malaysia yang mengundi pada PRU yang lalu apabila Tan Sri Muhyiddin mengkhianati mandat rakyat membawa keluar parti Bersatu daripada Pakatan Harapan lalu membentuk Kerajaan baharu yang dikenali sebagai kerajaan “back door”.

Perkara jelik ini disaksikan lebih kurang 32 juta rakyat Malaysia, melopong, bingung, kecewa apabila amanah kepercayaan mereka dihina sedemikian. Khianat yang keji, mencemar mandat rakyat. Ada sesetengah rakyat menganggap demokrasi berpelembagaan suda mati. Democracy is dead!

Jika dilihat dari sudut sejarah kondisi politik di Sabah, aktiviti keji iaitu melompat parti sudah lama diamalkan oleh Jeffrey Kitingan. Beliau yang dikenali sebagai raja katak Sabah boleh dikatakan antara pelopor awal dalam seni lompat melompat apabila para pengikutnya yang serba naif dibawa melompat bermula dari PBS kepada AKAR, kemudian PBRS sebelum mencuba nasib di dalam UMNO yang akhirnya membawa kemaluan besar apabila keahliannya dikesan oleh AMT Umno pusat dan dibatalkan serta merta. Ibarat kudis yang berjaya dibersihkan dengan pantas oleh Umno, beliau kemudian berlayar ke PKR sehinggalah kewujudannya di dalam PKR dilihat insignificant.

Setelah beberapa ketika “berjuang” di dalam parti cap ayam bernama STAR, hasratnya untuk menjadi “entiti yang penting” di Sabah boleh dikira tercapai apabila akhirnya beliau dilantik oleh tuan yang saban hari disalaknya dahulu sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Budaya Malaysia. Soal beliau layak atau tidak menurut pandangan masyarakat itu bukan perkiraannya. Bakat semulajadi Jeffrey Kitingan iaitu menipu rakyat dan mengasasaskan trend lompat parti merupakan ciri-ciri yang diperlukan Perikatan Nasional pada saat ini. Kalau dahulu Musa perlu disingkirkan kerana dia bapa rasuah dan pembalakan Sabah, kini Musa rakan kongsi sejatinya. Musa perlu dikekalkan sebagai peneraju Sabah menurut beliau.

Terbaharu , Yampat Tahol, bekas Ketua Daerah Pensiangan juga melompat parti dengan membawa sambil mengkhianat para pengikutnya yang lain daripada PKR ke PBRS. PBRS pada saat ini merupakan parti komponen kerajaan di peringkat persekutuan. Menurut sumber, Yampat Tahol juga merupakan antara pengamal seni lompat-melompat berdasarkan rekod beliau yang pernah melompat kijang daripada UMNO ke PKR, kemudian Warisan sebelum merujuk PKR kembali. Mungkin pada pekiraan beliau madu di dalam PKR sudah habis, maka sekarang PBRS tempat baru beliau mengemis nasib. Memang jelas tersurat niat beliau, bukan lagi tersirat.

Antara lain pengkhianatan politik terbaharu, di Pitas pula, dikhabarkan Datuk Rudy dan beberapa ahli PKR melompat parti ke parti PPBM. Nampaknya budaya ini semakin tular seakan akan proses melompat mereka terburu buru. Seolah-olah mereka ini sudah terdengar bunyi semboyan pilihan raya. Pendekatan siap siaga yang ternyata silap, mereka perlu ingat, ‘gagal merancang ibarat merancang kegagalan. Masih ingatkah kalian peristiwa memalukan yang dialami Datuk Salleh Said? Disangkanya Umno sudah terbuang, maka ditinggalkan posisinya sebagai pemimpin di dalam Umno. Hari ini disangkanya Umno kononnya sudah diterima baik rakyat, maka tanpa segan silu beliau menyorong wajah sepuluh sennya untuk diterima kembali ke dalam Umno setelah permohonannya menyertai Bersatu ditolak.

Rakyat Sabah harus ingat, musang-musang yang bertopengkan pemimpin sebeginilah yang harus kita berhati-hati agar tidak terpangkah nama mereka di dalam kertas undi nanti. Jeffrey, dan Yampat Tahol yang ditaja oleh Arthur Kurup merupakan contoh pejuang perut sendiri yang perlu rakyat kenang sebagai musang bertopengkan pemimpin.

Kaliber ini lah yang dibanggakan oleh pengikut mereka, mereka lantang malah tiada rasa malu terhadap amalan keji ini.

Berasaskan daripada nilai moral individu, sanggupkah anda menipu diri sendiri? Berasaskan nilai moral kekeluargaan, sanggupkah anda khianati keluarga anda? Sekarang, Masih percayakah anda dengan jijiknya teladan moral begitu? Tepuk dada tanya selera. Terfikir juga apakah para pengikut mereka tidak pernah mempersoalkan integriti pemimpin mereka?

Alam jagat ini bergerak secara ekosistem, jika harmoni ekosistem itu maka indahlah hasil kehidupannya. Namun budaya melompat parti ini secara nyata merosakkan ekosistem politik demokrasi. Tindak tanduk melompat parti ini bila-bila masa sahaja bakal meruntuhkan ekosistem ini.

Yang melompat terus bahagia, si rakyat berputih mata. Justeru, sekiranya budaya ini terus diamalkan, maka sehingga ke akhir hayatlah rakyat tetap dipermainkan mentah-mentah. Jikalau kuasa dan perut sendiri terus menjadi misi, maka visi untuk mencapai negara maju hanya tinggal mimpi selamanya. Semuanya bermula dari pemikiran nurani sendiri.

Ini lah masa untuk kita UBAH mindset ini.

Agak menjadi-jadi di media sosial sekarang berkenaan beberapa orang pengguna yang lantang menyalahkan Ketua Menteri kita atas beberapa isu yang tidak berasas, namun semua tuduhan itu tidak berpangkal ideanya. Para penuduh secara membabi buta menuduh Ketua Menteri tanpa merujuk permasalahan secara terperinci.

DSSA penat lelah membanting tulang menjalankan tanggungjawab beliau. Namun ketirisan terjadi apabila segala niat baik dan tindakan berintegeriti kerajaan negeri dicemari oleh perlaksanaan akar umbi bawahan yang tidak jujur dan tidak amanah apabila diberi kepercayaan menjalankan tugas. Hal ini yang menjejaskan imej kerajaan negeri. Boleh jadi juga ini adalah rancangan sabotaj dari dalam. Lihat sahaja apabila secara nyata ada yang sanggup melompat parti sekarang.

Pengkhianatan ini akan menjadi sejarah dunia dan akan dikenang sampai bila-bila. Memetik kata-kata semangat demokrasi Alan Moore yang berbunyi, “Rakyat sepatutnya tidak takut kepada kerajaan namun kerajaanlah yang patut takut kepada rakyat.”

Saya menyeru kepada masyarakat untuk membuka mata dan minda. Ubah pemikiran.

Tompinai Tambadau.

Tulisan di atas merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Hub Netizen.

Kongsi: