July 12, 2020

BN MAHIR URUS TANAH ATAU MAHIR CURI TANAH?

Riuh satu Sabah apabila tanah yang diserahkan kepada rakyat di Keningau dan Sook oleh kerajaan Warisan Sabah beberapa hari lepas dituduh pengikut-pengikut Musa Aman sebagai tanah-tanah yang telah diurus untuk diberikan kepada rakyat sewaktu di zaman pemerintahannya.

Sebelum saya mengulas lebih lanjut, ingin saya menyampaikan salam saya kepada Musa Aman dan sekutu kleptokrasinya dari Semenanjung hinggalah ke Sabah dengan ucapan salam jari tengah!

Rakyat Keningau dan Sook tidak pernah lupa janji Joseph Kurup selaku salah seorang pemimpin KDM untuk menyerahkan tanah-tanah ini sehingga berlanjutan ke zaman pemerintahan Barisan Nasional. “Sampai di baino” kata orang Sabah. Yang bercakap pada saat ini ialah waris kepada pemohon tanah yang terlibat. Nasib baik Peter dan Shafie masuk campur dalam hal urusan tanah di Sabah. Bukan senang mahu menguruskan tanah-tanah rakyat yang dirampas oleh syarikat-syarikat kroni Musa Aman sewaktu di zaman pemerintahannya. Semuanya diikat dengan perjanjian yang sangat merugikan kerajaan negeri. Yang untung tauke-tauke bangunan, balak dan sawit, tidak terkecuali Musa Aman secara peribadi.

Menurut pengikut Musa, tanah-tanah yang dipohon di Keningau dan Sook sudah diuruskan sejak tahun 2011 lagi iaitu sewaktu di zaman pemerintahannya. Hampir 9 tahun tiada khabar, ingatkan sibuk bekerja untuk rakyat. Rupanya sibuk menukar status tanah adat kepada CL untuk memudahkan pemilikan tanah oleh syarikat proksi beliau. Sekali lagi Tan Sri, salam jari tengah!

Masih ingatkah Tan Sri akan tanah Skim Sipit Magai di Semporna? Tanah adat yang telah ditukar statusnya sewaktu zaman Tan Sri? Pelan asalnya yang merupakan lot pribumi ditukar kepada CL (Country Lease). Antara penama yang tinggal di dalam geran tanah tersebut ialah Saadiah Abdul Razak, ibu mertua Nazri Aman, adik kepada Musa Aman.

Dipangkah nama-nama penduduk kampung di dalam geran tersebut. Sebahagian mereka sudah meninggal dunia, tidak sempat merasa memiliki geran sendiri. Kemudian dijual kesemua tanah itu dengan harga yang sangat murah kepada syarikat WINSOME HARVEST DEVELOPMENT SDN BHD! Inilah kehebatan geran komunal di mata Barisan Nasional. Sekali pangkah semua penama mampus tidak punya apa-apa.

Semua ini berlaku pada tahun 2008. 6 lot tanah yang berkeluasan 15 ekar setiap satu lot, yang telah diubah statusnya daripada NT kepada CL, dipangkah penama-penamanya, dan ditinggalkan hanya nama ibu mertua Nazri Aman sebelum dijual kepada syarikat tersebut dengan nilai jutaan ringgit. Semuanya berlaku dengan sangat pantas. Tidak perlu menunggu sehingga 9 tahun seperti rakyat Keningau dan Sook. Kalian mahu bukti? Ini buktinya.

Di saat ibubapa dan datuk nenek kami bersusah payah mendapatkan hanya sekeping geran tanah dari zaman Berjaya hingga ke zaman Barisan Nasional. Di saat kami belia Sabahan masih ramai tidak mempunyai tanah. Jangankan tanah untuk diusahakan, tanah untuk memacak tiang rumah pun kami tidak punya. Di sanalah kalian tanpa belas kasihan, tanpa hati perut menjamah semahunya hak kami, rakyat Sabah.

Di dalam kegembiraan kami terhadap jasa para pemimpin Warisan di dalam hal ini, tidak sesekali akan kami lupakan kebejatan dan betapa culasnya Barisan Nasional terhadap tanah nenek moyang kami.

Terima kasih CM. Terima kasih Datuk Peter. Semoga Tuhan terus memberkati perjuangan kalian.

Robert Taufik. Belia non-partisan berjiwa Sabahan.

Tulisan di atas merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Hub Netizen.

Kongsi: