July 14, 2020

BN DAN MASALAH AIR DI SABAH

Beberapa hari ini kita disajikan dengan berita pemberian 2300 geran tanah individu kepada penduduk Keningau dan Sook. Suatu pencapaian terbaik kerajaan Warisan pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal yang baru berusia dua tahun. Perikatan Nasional nampaknya hampir berputus asa memainkan isu tanah di Sabah kerana sebahagian besar pemimpinnya sedar betapa hebatnya penipuan tanah penduduk di sekitar Sabah suatu masa dahulu oleh pimpinan kerajaan Barisan Nasional di bawah Musa Aman.

Kita juga sedia maklum betapa integriti SPRM pada ketika ini dipertikaikan oleh rakyat Malaysia secara keseluruhannya lebih-lebih lagi apabila 46 pertuduhan rasuah Musa Aman digugurkan begitu sahaja oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Isu seterusnya yang cuba dibawa oleh Perikatan Nasional di Sabah pada saat ini ialah masalah air di Sabah. Ibarat cuba menduga air laut, blog-blog kecil diarahkan untuk memulakan isu ini dengan harapan agar jentera Warisan tidak mengendahkannya sehingga tiba di satu tahap propaganda ini tersebar luas dan sukar dibendung lalu menjatuhkan reputasi kerajaan negeri Sabah di mata rakyat.

Umum mengetahui bahawa permasalahan bekalan air bersih sudah lama berlaku di sekitar Sabah terutamanya di kawasan pedalaman sejak dari kerajaan USNO, BERJAYA, PBS, dan seterusnya Barisan Nasional.

Pembangunan fasiliti berkaitan air juga lembab di zaman pemerintahan parti-parti ini. Terakhir, beberapa ketika sebelum kejatuhan Barisan Nasional di Sabah, kita dikejutkan dengan penemuan dana infrastruktur air sebanyak 53 juta yang dimiliki oleh bekas pengarah Jabatan Air negeri Sabah, Awang Mohd Tahir Mohd Talib oleh SPRM pada tahun 2016. Fasa kedua operasi SPRM berjaya menahan 35 ketua bahagian dan daerah Jabatan Air di seluruh Sabah pada tahun yang sama melibatkan jumlah penyelewangan sebanyak 21.78 juta. Semua kes rasuah ini berlaku sewaktu di bawah pentadbiran Musa Aman. Tidak dinafikan Awang Mohd Tahir merupakan salah seorang daripada beratus pengikut Musa Aman yang kaya hasil daripada penyelewengan duit rakyat Sabah. Inilah punca permasalahan air di Sabah tidak pernah selesai selama 3 penggal pemerintahan Musa Aman.

Berbeza dengan pentadbiran Warisan, Peter Anthony dan jenteranya dilihat begitu bertungkus lumus untuk menyelesaikan masalah air di segenap pelusuk negeri Sabah. Semua ini boleh dilihat melalui perkongsian gerak kerjanya kepada masyarakat di halaman Facebook beliau. Peruntukan dan gerak kerja pembangunan dan penaiktarafan loji rawatan bekalan air sangat mudah sekali di bawah kendalian kementeriannya.

Semua ini cuma sebahagian daripada berpuluh daripada gerak kerja Datuk Peter Anthony yang tidak dihebohkan media.

Madrin Zaini.

Tulisan di atas merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Hub Netizen.

Kongsi: