June 22, 2020

PLOT JAHAT MUSA AMAN DAN AZAM BAKRI : Siri Ke-2

Musa Aman

Dikhabarkan setelah niat jahat Azam Bakri dan Musa Aman untuk memberi tekanan kepada kerajaan negeri Sabah sebelum ini tidak berkesan, kedua mereka telah meminta bantuan daripada KDN melalui Menteri KDN Dato’ Seri Hamzah Zainudin untuk mencari jalan dan mencipta propaganda untuk menjatuhkan kerajaan Warisan Sabah.


Satu pasukan polis SB daripada Bukit Aman turut diarah untuk melakukan kerja kotor ini. Propaganda yang disusun oleh Azam Bakri dan Musa Aman melalui Syamsul Osman setakat ini belum mampu menggugat kekuatan moral pemimpin-pemimpin Warisan terutamanya Peter Anthony sebagai tunggak utama masyarakat KDM di dalam Warisan.


Perancangan keji yang disusun oleh Syamsul Osman untuk menekan dan memalukan pemimpin Warisan terutamanya Peter Anthony akhirnya terkena ke batang hidung mereka kembali apabila bocornya maklumat perancangan tersebut oleh pengikut mereka sendiri yang berpaling tadah secara senyap.


Sememangnya ramai yang pelik mengapa kes mahkamah yang melibatkan Peter Anthony yang telah selesai di pada tahun 2013 dibuka semula pada tahun ini. Di saat sebutan kes mahkamah sedang dijalankan ke atas Peter Anthony, Musa Aman pada hari yang sama juga dilepaskan daripada 46 pertuduhan kes di bawah akta yang sama di Mahkamah Tinggi di Semenanjung. Rupa-rupanya semuanya dirancang untuk mencapai dua matlamat. Yang pertamanya untuk menjatuhkan reputasi Warisan dan Peter Anthony, dan yang keduanya untuk mengalihkan perhatian masyarakat daripada mempersoalkan ketidakwajaran pengguguran kes Musa Aman yang telah banyak merugikan rakyat Sabah selama ini.

Kebanyakan rakyat Sabah masih ingat pada Oktober 2016, lebih daripada RM180 juta wang tunai telah dijumpai di pejabat Jabatan Air dan di rumah kediaman Chee Kong dan Awang Mohd Tahir. Namun kes tersebut ditutup begitu sahaja oleh Azam Bakri atas arahan Musa Aman.


Sebab itu Musa Aman dan Pairin selaku Ketua Menteri dan Menteri KPI ketika itu langsung tidak dipanggil oleh pihak SPRM untuk memberi keterangan berkaitan wang yang ditemui tersebut.


Melalui pemerhatian dan kaji selidik yang dilakukan setakat ini, rata-rata masyarakat tidak bersetuju dan mempertikaikan tindakan bias kerajaan PN pada ketika ini terhadap kes Musa dan Peter.


Apabila kerajaan PH kembali dalam masa terdekat ini, kesemua penyangak yang diketuai oleh Musa Aman dan Azam Bakri di dalam SPRM akan ditelanjangkan dan didedahkan kepada umum. Mereka inilah perancang yang selama ini berjaya mengekalkan kekebalan Musa Aman daripada sebarang tindakan undang-undang di atas penganiayaan yang dilakukannya terhadap hak rakyat Sabah selama ini.

Winnie Joan : Penulis bebas. Penyumbang artikel Hub Netizen.

Tulisan di atas merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Hub Netizen.

Kongsi: