June 9, 2020

MUSA DAN PETER : SATU BERI KETERANGAN, SATU LAGI BEBAS 46 PERTUDUHAN.

Mungkin tidak ramai rakyat Sabah yang sedar pada hari ini telah berlaku dua kisah yang menarik.

Siang tadi Datuk Peter Anthony hadir ke pejabat SPRM di Kota Kinabalu untuk memberi keterangan berhubung transaksi tanah yang melibatkan Michael P. Ubu dan RISDA. Berduyun-duyun para penyokong BN dan komponen PN yang lain “memeriahkan” isu ini di ruangan media sosial tempatan, seolah-olah ada perkara lain yang lebih besar hendak ditutup daripada pandangan awam sedangkan isu ini hanyalah proses normal bagi SPRM.

Pada pagi ini juga, bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dibebaskan serta merta daripada 46 pertuduhan rasuah dan penggubahan wang haram berkaitan konsesi balak di seluruh Sabah bernilai 50.1 juta dolar Amerika. Kes tersebut digugurkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika prosiding mahkamah terbuka dijalankan siang tadi.

Secara logiknya, 46 kes bukan jumlah yang kecil. Namun, mesejnya amat mudah. Rakyat Sabah tidak akan pernah aman selagi tidak tunduk kepada kuasa politik di Semenanjung. Yang tunduk seperti Musa akan selamat walapun ancaman beliau terhadap keselamatan Yang Dipertua Negeri Sabah masih segar di memori. Yang melawan seperti Warisan akan dipancung sampai mati. Rakyat Sabah harus tunduk kepada mereka di Semenanjung agar selamat. Itulah mesej mudahnya.

Beza Peter dengan Musa? Peter selalu turun ke kampung-kampung setiap minggu menghantar bantuan kepada rakyat dengan tangannya sendiri. Musa pula sebelum ini aktif bermain golf sambil menikmati kopi dengan rakan-rakan niaganya.

Oleh : Aziz Ramlee

Tulisan di atas merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Hub Netizen.

Kongsi: